TAPAH: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah mengedarkan lebih 2.6 juta kampit beras putih tempatan (BPT) di seluruh negara, setakat ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, beras-beras itu telah diedarkan seluruh semenanjung melibatkan 21,190 premis runcitan termasuk pasar raya, pasar mini dan kedai runcit.
Dalam masa sama, beliau mengarahkan pembekal, agar segera mengedarkan beras putih itu ke kawasan-kawasan luar bandar.
“Kalau di bandar-bandar pula, sekarang ini (BPT) bukan jadi rebutan pun kerana bagi mereka tidak berapa peduli beras RM26.
“Tetapi kita rasa mesti digerakkan lebih kepada kampung-kampung ni kerana mereka perlulah harga yang agak lebih rendah,” katanya.
Beliau berkata demikian Program Libat Urus Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan Bersama Pemimpin Peladang Negeri Perak di pekarangan bangunan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) pada Khamis.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar.
Menurutnya, sebagaimana yang diumumkan sebelum ini, lebih 24 juta kampit beras putih tempatan akan diedarkan di seluruh negara dalam tempoh enam.
Katanya, walaupun beras berkenaan kurang mendapat sambutan di kawasan T20 tetapi isu keberadaannya telah berjaya dilaksanakan.
Beliau turut berharap agar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dapat memainkan peranan untuk mengedarkan BPT ke kawasan luar bandar.



