Art Bloc satu lagi produk pelancongan Ipoh, kumpul hasil 100 seniman

Berita Perak

IPOH: Art Bloc akan menjadi satu lagi produk pelancongan Ipoh yang memberi fokus kepada lima bidang utama iaitu seni, fesyen, filem, makanan dan muzik.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, lebih menarik, ia akan mengumpulkan hasil seni daripada 100 seniman tempatan.

Menurutnya, inisiatif ini bertujuan mempromosikan budaya dan pembangunan industri kreatif melalui interaksi, pameran dan pendidikan, menjadikan Art Bloc sebagai platform budaya bertaraf antarabangsa.

“Dalam Pelan Ipoh Bestari Sejahtera antaranya untuk jadikan Ipoh sebagai bandar seni kerana ia tiada lagi di Malaysia, jadi ini adalah salah satu produknya,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Art Bloc bagi projek pemulihan bangunan dan pembangunan komersial di tapak stor Tasek di Bangunan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini, hari ini.

Projek pembangunan itu adalah usahasama antara MBI dan Pertubuhan Kebajikam A2Z.

Rumaizi berkata, Art Bloc menggabungkan seni dan budaya tempatan Ipoh dengan aliran seni global, sambil memperkenalkan semangat tempatan yang unik ke peringkat dunia.

“Melalui pelbagai bentuk seni dan ciptaan, Art Bloc bukan sahaja menyuntik keyakinan budaya di Ipoh, tetapi juga membuka laluan baharu kepada seni tempatan untuk mendapat pengiktirafan antarabangsa,” ujarnya.

Menurutnya, projek pemulihan dan reka bentuk semula Art Bloc akan dilaksanakan melalui proses tender terbuka, dengan menggalakkan penyertaan arkitek tempatan dan antarabangsa untuk menghasilkan rekaan yang inovatif, serta selaras dengan prinsip pembangunan lestari.

“Art Bloc dijangka dibuka secara rasmi pada Ogos 2025 dan kemajuan projek akan diteruskan seperti yang dirancang, dengan laporan kemas kini secara berkala kepada umum,” katanya.

Projek tersebut turut mendapat sokongan daripada Branding Association of Malaysia dan Persatuan Pelukis Perak.