Amaran tidak diendahkan, JAIPk tahan dua lelaki Thailand kutip derma di RnR Tapah

Berita Perak

TAPAH: Dua lelaki warga Thailand ditahan oleh Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) setelah didapati membuat aktiviti kutipan derma tanpa kebenaran di pekarangan surau kawasan rehat dan rawat (RnR) Tapah, di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), pada Selasa.

Jurucakap Bahagian Penguatkuasaan JAIPk memberitahu, tangkapan itu turut disertai oleh sepasukan penguat kuasa dari Pejabat Agama Islam Daerah Tapah di lebuh raya PLUS di situ, arah utara dan selatan.

Katanya lagi, kedua-dua lelaki tersebut melakukan perbuatan itu berulang kali, meskipun sudah diberikan nasihat dan amaran sebelum ini.

“Sebelum ini, kedua-dua mereka telah diberi nasihat dan amaran sebanyak dua kali agar mendapatkan kebenaran daripada Majlis Agama Islam Perak (MAIPk) terlebih dahulu, sebelum aktiviti kutipan derma boleh dibuat.

“Malangnya, amaran dan teguran tersebut tidak diendahkan dan mereka tetap berdegil untuk melakukan kutipan derma tanpa melalui prosedur yang betul,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, katanya, ketika penahanan tersebut, sejumlah wang bernilai lebih RM900 dijumpai hasil daripada kutipan derma yang dibuat.

Turut ditemui, dua bungkus air berwarna hijau dipercayai air ketum di dalam beg salah seorang daripada mereka.

Sehubungan itu katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 43 Enakmen Jenayah (Syariah) 1992 kerana kesalahan Kutipan Derma Tanpa Kebenaran yang memperuntukkan hukuman denda RM3,000 atau penjara atau kedua-duanya sekali.