IPOH: AMANAH Negeri Perak merafak sembah setinggi-tinggi tahniah atas pelantikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizuddin Shah sebagai Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang baharu.
Pengerusi AMANAH Perak, Datuk Asmuni Awi berkata, AMANAH Perak turut merafak setinggi-tinggi penghargaan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang telah tamat menjalankan tugas sebagai Pengerusi MKI selama dua tahun.
“Justeru AMANAH Perak mendoakan kesejahteraan dan keafiatan kepada Tuanku di dalam menjalankan amanah baru ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada Selasa, media melaporkan Sultan Nazrin dilantik sebagai Pengerusi MKI bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 9 Mac 2024 hingga 8 Mac 2026.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata pelantikan yang diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-265 itu adalah bagi menggantikan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang telah tamat menjalankan tugas sebagai Pengerusi MKI selama dua tahun.
“Walaupun terdapat titah gesaan daripada Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja agar baginda menyambung khidmat yang mulia dan cemerlang selama dua tahun lagi, baginda bertegas untuk mengundur diri, supaya tugas dan peranan penting sebagai Pengerusi MKI dipertanggungkan kepada seorang Raja lain.
“(Sultan Selangor) menghujahkan bahawa tugas serta amanah besar itu dipertanggungkan secara bergilir yang melambangkan semangat kebersamaan tanggungjawab dalam kalangan Raja-Raja sebagai Ketua Agama Islam di negeri masing-masing untuk menjaga dan memelihara agama Islam menurut yang termaktub dalam Perlembagaan.
“Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja menghargai kehendak dan asbab baginda untuk tidak berkenan dilantik semula,” katanya dalam kenyataan.