IPOH: Tiga buah syarikat yang digantung operasi kerana didakwa terbabit dengan pencemaran beberapa sungai di Gerik, tahun lalu, dibenarkan beroperasi semula, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad
Beliau berkata, surat pelepasan penggantungan itu diterima oleh syarikat-syarikat berkenan pada 13 Januari lalu.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan syarikat berkenaan supaya mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan sebarang tindakan.
“Saya ingatkan sekali lagi bahawa kerajaan negeri, kita sangat tegas, Jika mana-mana syarikat yang melibatkan aktiviti melombong, terutama yang berkaitan dengan NRE, yang ada kemungkinan berlakunya radioaktif yang lebih tinggi.
“Jika itu dibuktikan, kerajaan negeri kita meletakkan kesihatan dan nyawa rakyat jauh lebih penting daripada keperluan untuk mendapatkan pendapatan berdasarkan perlombongan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan
Konvesyen Intergriti dan Antirasuah Perak Sejahtera 2026 dan Peluncuran Program Keep Malaysia Clean (KMC) di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.
Beliau turut menasihatkan semua syarikat yang berkaitan, termasuk syarikat lain supaya mematuhi SOP yang diterima.
“Jangan ada sedikitpun cubaan untuk mengelak. Kadang-kadang ada setengah SOP tu barangkali perlukan belanja, kos, jadi, barangkali untuk mengurangkan kos, dia melanggar SOP,” ujarnya.
November lalu, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) menggantung operasi tiga syarikat perlombongan bijih timah dan unsur nadir bumi karbonat (REC) yang didakwa terbabit pencemaran beberapa sungai di Gerik.
Terdahulu, pada Oktober, tular di media sosial mengenai perubahan warna air di hulu Sungai Perak dekat Kampung Sungai Papan, Gerik yang didapati bertukar menjadi biru seperti air laut.
Perubahan warna itu didakwa berpunca daripada kegiatan perlombongan di kawasan bukit berhampiran hulu Sungai Rui yang merupakan salah satu anak sungai membentuk lembangan Sungai Perak.
Susulan itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan JMG menjalankan siasatan lanjut termasuk analisis sampel air dan pemeriksaan di kawasan perlombongan di bahagian hulu sungai.







