Agihan 400 bekas bubur lambuk, 15 asnaf terima sumbangan di Bazar Ramadan Medan Gopeng

Berita Perak

IPOH: Ramadan kian melabuhkan tirainya, namun masih ramai yang mengambil kesempatan untuk meneruskan program infak kepada asnaf dan sumbangan bubur lambuk kepada orang ramai.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan Koperasi negeri, Datuk Salbiah Mohamed, inisiatif yang digerakkan oleh Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Perkasa Negeri Perak disifatkan sebagai pendekatan terbaik.

Salbiah menambah, sebanyak 400 bekas bubur lambuk telah diagihkan kepada pengunjung di Bazar Ramadan Medan Gopeng, di sini, selain sumbangan kepada 15 orang asnaf.

“Kebiasaannya saya terjah ke bazar bazar sekitar Perak, namun kali ini pihak persatuan menjemput saya untuk sama-sama menyantuni orang ramai dan penjaja di sini.

“Mereka juga memberi sumbangan kepada 15 orang asnaf, usaha baik yang dilakukan pihak persatuan ini amat saya hargai selaku Exco yang memegang portfolio usahawan.

“Sekali gus usaha ini dapat memastikan bazar di sini dapat dihidupkan, pengunjung dan peniaga juga dapat manfaat,” katanya kepada pemberita ketika melawat bazar berkenaan pada Selasa.

Hadir sama, Presiden Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Perkasa Negeri Perak, Suhaimi Derais dan Datuk Hang Tuah Din.

Katanya lagi, sepanjang Ramadan, beliau mengambil pendekatan untuk turun padang ke lapangan dengan mengunjungi bazar.

“Ini merupakan bazar kelima yang saya sendiri turun padang dengan menyantuni penjaja sambil edarkan apron kepada mereka.

“Ia salah satu cara untuk saya melihat sendiri dan berinteraksi dengan usahawan di negeri ini, kalau mereka ada soalan yang berkaitan juga, boleh bertanya terus di situ,” katanya.