ADTEC Ipoh bangunkan padang bola sepak sintetik pertama di Ipoh, manfaat untuk semua

Berita Perak

IPOH: Padang bola sepak sintetik berstandard antarabangsa yang dibangunkan di Kolej Teknologi Termaju (ADTEC) Jabatan Tenaga Manusia (JTM) Kampus Ipoh menjadi serampang dua mata bukan sahaja untuk warganya, tetapi mencakupi komuniti setempat.

Ketua Pengarah JTM, Datuk Rospiagos Taha berkata, pembinaan Arena ADTEC Ipoh merupakan hasil kerjasama strategik antara ADTEC JTM Kampus Ipoh dan syarikat MFS Teguh Jaya.

Difahamkan, ia merupakan padang bola sepak sintetik pertama seumpamanya di bandar raya Ipoh.

“ADTEC JTM Kampus Ipoh terus melakar sejarah tersendiri apabila berjaya membangunkan padang bola sepak sintetik Arena ADTEC Ipoh.

“Ia menandakan satu pencapaian penting dalam pembangunan infrastruktur sukan di kampus berkenaan.

“Sekali gus mengukuhkan komitmen institusi tersebut dalam menyediakan fasiliti berimpak tinggi kepada warga kampus dan komuniti setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan padang berkenaan di ADTEC JTM Kampus Ipoh di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, katanya padang bola sepak sintetik berstandard Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) itu seiring dengan kejayaan pelaksanaan beberapa projek berimpak tinggi JTM sebelum ini.

Antaranya, Kincir Angin KITA di Kampus Kuala Terengganu serta Bot KITA Catamaran di Kampus Marang yang mencerminkan pendekatan inovatif dalam pembangunan fasiliti latihan serta kemahiran.

Beliau turut berharap pembinaan padang itu dapat menjadi pemangkin kepada pembudayaan gaya hidup sihat, pembangunan bakat sukan, serta membuka ruang kepada integrasi latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berasaskan fasiliti sebenar.

Selain itu, kemudahan ini dijangka mampu memperkukuh aktiviti kokurikulum dan meningkatkan penglibatan komuniti setempat bersama institusi latihan.

ADTEC JTM Kampus Ipoh merupakan nama baharu bagi Institut Latihan Perindustrian (ILP) Ipoh setelah penjenamaan semula pada tahun lalu.