TAIPING: Seramai 39 orang mangsa daripada 14 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) pada awal pagi tadi susulan banjir yang melanda Kampung Simpang Halt, di sini.
Menurut jurucakap Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Taiping, hujan sangat lebat melebihi satu jam mulai petang hingga malam tadi menyebabkan kawasan itu dinaiki air.
Katanya, PPS Dewan Orang Ramai Simpang Halt dibuka mulai jam 7 pagi pada Sabtu bagi menempatkan kesemua mangsa terjejas.
Tambahnya, pemindahan mangsa ke PPS dibantu oleh APM Taiping dan kebanyakan daripada mereka berpindah sendiri ke lokasi selamat.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan cuaca di negeri ini akan hujan pada sebelah petang dan malam di semua daerah.





