TAPAH: Seramai 26 orang individu ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan perjudian laga ayam di daerah ini pada Rabu.
Menurut Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat, kesemua suspek ditahan dalam serbuan Bahagian D7, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak bersama Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah.
“26 suspek itu terdiri daripada (1) orang lelaki Cina, (1) lelaki India, (3) lelaki Melayu, (3) orang lelaki Iban, (17) lelaki dan (1) wanita warga Indonesia.
“Mereka berusia antara 31 hingga 50 tahun.
“Serbuan dilakukan pada 25 Disember sekitar jam 2 petang, dan polis turut merampas 49 ekor ayam laga, lima buah sangkar besi, 22 telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM18,314,”katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Justeru, katanya, kesemua suspek direman selama empat hari mulai 26 hingga 29 Disember bagi meneruskan siasatan lanjut.
Zulkafli menambah, kes disiasat di bawah Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953/ Seksyen 32(1) (a) dan Seksyen 32(2) (a) Akta Kebajikan Haiwan 2015.