15 jalan ditutup, lencong sempena Ipoh International Run 2024

Berita Perak

IPOH: Sebanyak 15 jalan di sekitar bandar raya ini akan ditutup dan dilencong secara berperingkat bagi memberi laluan kepada program Ipoh International Run 2024 pada Ahad ini, 28 Julai.

Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner (ACP) Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, penutupan dan lencongan jalan itu akan bermula jam 3 pagi pada Ahad sehingga selesai program.

Katanya, program itu akan mengambil tempat di Stadium Indera Mulia Ipoh.

“Jalan yang terlibat untuk penutupan dan lencongan secara berperingkat ialah Jalan Ghazali Jawi, Jalan Kamaruddin Isa, Jalan Ashman Shah, Jalan Raja Dihilir.

“Jalan RM Aziz, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, Jalan Dato’ Maharaja Lela, Jalan Tun Sambanthan, Jalan Sultan Yusof.

“Jalan Sultan Idris Shah, Persiaran Greenhill, Jalan Sultan Abdul Jalil, Jalan Chin Choon Sam, Jalan Cecil Rae dan Jalan Kompleks Sukan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menambah, Polis Daerah Ipoh melalui Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Ipoh diberi tanggungjawab untuk menjalankan kawalan lalu lintas sepanjang program berlangsung.

Sehubungan itu, katanya pengguna jalan raya khususnya warga Ipoh dinasihatkan supaya merancang perjalanan dan memilih laluan alternatif bagi mengelakkan daripada terperangkap dalam kesesakan lalu lintas semasa penutupan dan lencongan jalan dilaksana.