IPOH: Seramai 120 anak yatim dari keluarga kurang berkemampuan sekitar Parlimen Pasir Salak diraikan menerusi Program Jom Kejar Saham Akhirat 2026 anjuran Skuad Prihatin dengan kerjasama Nazari Sabran Team (NST), sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.
Program menyaksikan kesemua peserta dibawa ke Pasar Raya Besar Mydin Meru Raya semalam, bagi memilih sendiri pakaian raya pilihan masing-masing, ditemani ibu dan bapa angkat yang turut serta.
Konvoi sejauh lebih 170 kilometer dari Pasir Salak ke Ipoh itu melibatkan 47 buah kereta dan sebuah van, sekali gus menarik perhatian orang ramai.


Penaung Skuad Prihatin, Mohd. Nazari Sabran berkata, program berkenaan merupakan kesinambungan usaha berterusan pihaknya dalam membantu golongan memerlukan di kawasan setempat.
Menurut beliau, sebelum ini program kebajikan seperti ‘Back To School’ telah memberi manfaat kepada lebih 400 penerima, namun pelaksanaannya hanya tertumpu di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Bagi memastikan tiada golongan tercicir, kami sepakat memperluaskan pelaksanaan program ke peringkat Parlimen Pasir Salak melalui gabungan dua NGO ini,” katanya ketika ditemui.


Anak-anak yatim yang terpilih terdiri daripada lima zon iaitu dua zon di Sungai Manik (Labu Kubong dan Sungai Manik) serta tiga zon di Kampung Gajah (Kampung Gajah Tengah, Pekan Kiri dan Anak Sungai).
Pemilihan dibuat melalui ketua cawangan dan ketua komuniti kampung bagi memastikan bantuan disalurkan kepada mereka yang benar-benar layak.
Sementara itu, Pengerusi Skuad Prihatin, Mohd. Rossidi Ismail berkata, penganjuran konvoi bukan perkara baharu kerana ia pernah diadakan pada 2019 di lokasi sama.



Menurutnya, tahun ini pihaknya memberi fokus khusus kepada anak-anak yatim berbanding program pakaian sekolah yang lazim dianjurkan sebelum ini.
“Harapan kami agar sumbangan ini dapat menceriakan mereka dan memberi sedikit kegembiraan menjelang Syawal,” katanya.





