IPOH: Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) mengumumkan pelaksanaan pelarasan harga tiket masuk yang baharu berkuat kuasa mulai 15 Mac 2026.
Yang Dipertua, Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Mohamed Akmal Dahalan berkata, pelarasan itu dibuat bagi memastikan kelestarian operasi zoo, memperkukuh usaha pemuliharaan hidupan liar serta meningkatkan kualiti kemudahan dan pengalaman pelawat secara menyeluruh.
Menurutnya, kadar baharu Zoo Taiping bagi warganegara Malaysia ialah dewasa (13 – 59 tahun) RM25; kanak-kanak (3 – 12 tahun) RM12 dan warga emas (RM10) manakala Night Safari pula ialah dewasa (RM30), kanak-kanak (RM15) dan warga emas (RM10).
Katanya, bagi kadar baharu Zoo Taiping bagi bukan warganegara pula ialah dewasa (RM40), kanak-kanak (RM20), warga emas (RM20) manakala Night Safari ialah dewasa (RM50), kanak-kanak (RM25) dan warga emas (RM20).
“Semua kadar tiket adalah termasuk perkhidmatan trem. Sebagai sebahagian daripada komitmen sosial, kemasukan percuma terus diberikan kepada pemegang Kad Orang Kurang Upaya (OKU) yang sah serta kanak-kanak berumur di bawah tiga (3) tahun melibatkan warganegara dan bukan warganegara,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Mohamed Akmal, dengan purata kehadiran sekitar 600,000 orang pelawat setahun, ZTNS menempatkan lebih 1,300 haiwan daripada 120 spesies di kawasan seluas 36 hektar dengan laluan pejalan kaki sepanjang 2.5 kilometer.
Tambahnya, pelarasan itu merupakan semakan pertama sejak tahun 2013 dan mengambil kira peningkatan kos operasi semasa termasuk penyelenggaraan habitat haiwan, kebajikan dan penjagaan veterinar, penyelenggaraan fasiliti awam, keselamatan serta penambahbaikan berterusan infrastruktur.
Selain itu, ujarnya, ia juga mengambil kira peningkatan kos bahan makanan haiwan sejajar dengan kenaikan harga pasaran semasa.
Beliau menegaskan bahawa kadar baharu ini masih kekal kompetitif dan berpatutan berbanding produk pelancongan setara di Malaysia bagi memastikan standard kebajikan haiwan dan pengalaman pelawat sentiasa berada pada tahap terbaik.
“ZTNS juga kekal antara zoo terbesar di Malaysia yang menawarkan harga tiket paling murah dan berpatutan kepada semua lapisan masyarakat,” ujarnya.
Menurutnya, ZTNS kekal komited dalam memperkukuh usaha pemuliharaan, pendidikan dan penjagaan hidupan liar serta memelihara nilai sejarahnya demi manfaat generasi kini dan akan datang.





