IPOH: Penceramah bebas Zamri Vinoth dan aktivis Tamim Dahri yang dilaporkan telah melarikan ke Thailand dinasihat untuk menyerahkan diri kepada pihak berkuasa.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran berkata, mereka sepatutnya menyerahkan kepada kuasa perundangan untuk menentukan sama ada mereka bersalah atau tidak.
“Saya harap mereka akan menyerah dan terus datang ke polis untuk disiasat dan tindakan susulan diambil.


“Adakah mereka salah atau tidak, keputusan itu akan dibuat dengan oleh mahkamah.
“Yang mustahak adalah untuk polis kita mententeramkan perkara yang telah dibuat sehingga menimbulkan perbalahan antara kaum dan agama di negara ini,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada seorang mangsa ribut yang terjejas akibat bencana itu baru-baru ini di Kampung Tasek, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Kulasegaran berkata semua pihak perlu menghormati sensitiviti agama di negara ini dan tidak menimbulkan ketegangan dengan menyentuh atau mengkritik agama lain.
Terdahulu, media melaporkan polis mengesahkan penceramah bebas Zamri Vinoth dan aktivis Tamim Dahri yang disiasat melibatkan beberapa kes berasingan telah melarikan ke Thailand.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata usaha mengesan dua individu terbabit sedang giat dijalankan dengan bantuan pihak berkuasa Thailand.





