LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Perak menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) kelas B bersama-sama dua nelayan warga asing kerana melakukan pelbagai kesalahan.
Vesel dan nelayan tersebut ditahan di kedudukan 1.2 batu nautika barat laut Pulau Talang, di sini kira-kira 12.15 tengah hari pada Ahad.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, vesel terbabit dikesan ketika sedang leka melakukan aktiviti perikanan.
“Hasil pemeriksaan mendapati, vesel tersebut dikendalikan oleh seorang tekong warga Myanmar berusia 50 tahun bersama-sama seorang kru yang juga warga Myanmar berusia 42 tahun.
“Pemeriksaan lanjut mendapati, vesel terbabit tidak diusahakan sendiri dan menggunakan nelayan asing tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
“Selain itu, kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah dan Akta Perikanan 1985 kerana tidak diusahakan sendiri dan menggunakan nelayan asing tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
Sehubungan itu, semua nelayan bersama vesel, hasil tangkapan serta peralatan menangkap ikan ditahan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi tindakan lanjut.
Sebarang laporan, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Maritim Malaysia melalui Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau talian kecemasan 999.