LUMUT: Rakyat Malaysia sememangnya mempunyai sifat belas ihsan yang tinggi khususnya ketika musibah atau bencana berlaku di negara ini atau negara jiran.
Ramai pihak tanpa mengira bangsa akan bersama-sama berganding bahu membantu sedaya mampu, baik daripada segi keperluan makanan dan sokongan emosi.
Tidak ketinggalan usaha digembleng oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam membantu mangsa banjir di Manjung yang merupakan salah satu daripada lapan daerah terjejas di Perak.
Setakat lewat malam Isnin, Manjung mencatatkan mangsa tertinggi dengan 1,669 orang daripada 499 buah keluarga berlindung di 15 pusat pemindahan sementara (PPS).
Menurut Naib Canselor UPSI, Prof. Dr. Md. Amin Md. Taff, 31 orang sukarelawan digerakkan ke empat PPS bagi menyalurkan keperluan asas serta sesi kaunseling kepada mangsa terlibat.
“PPS yang terlibat dalam misi itu merangkumi PPS SMK Sitiawan, SK Batu 10 Lekir, PPS Kampung Pasir Panjang Laut dan Kampung Teluk Pancalang.
“400 helai selimut dan 90 pek makanan kering turut diagihkan bagi memastikan keselesaan serta bekalan yang cukup kepada mangsa sepanjang berada di PPS.
“Pasukan profesional kaunseling UPSI turut menjalankan sesi sokongan psikososial khususnya kepada kanak-kanak bagi membantu mereka mengurus trauma dan tekanan akibat bencana,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Tambahnya, 31 sukarelawan UPSI itu termasuk lima staf pentadbiran, lima pensyarah Jabatan Kaunseling, tiga kaunselor dari Pusat Kaunseling, tiga Ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) serta 15 pelajar Fakulti Pembangunan Manusia (FPM).
Md Amin berkata, penyertaan UPSI dalam misi tersebut menggambarkan keprihatinan mereka terhadap komuniti setempat, selain memperkukuh peranan institusi pendidikan dalam membantu masyarakat ketika berlakunya bencana.
“Buat masa ini kita tumpu di daerah Manjung dahulu kerana jumlah mangsanya ramai dan insya-Allah akan bergerak ke daerah lain dalam masa terdekat.
“UPSI tidak sesekali mengabaikan tanggungjawab sosial kami. Kehadiran pasukan sukarelawan bersama bantuan ini adalah tanda solidariti warga UPSI dengan masyarakat yang sedang berdepan kesusahan,” katanya.
Ujarnya, aspek kaunseling yang dibawa dalam misi itu merupakan keperluan penting dalam situasi bencana, terutama kepada kanak-kanak yang sukar meluahkan emosi dan ketakutan mereka.
“Kadangkala trauma yang dialami kanak-kanak tidak terlihat pada mata kasar, tetapi kesannya sangat besar. Kaunselor kami hadir untuk memberikan ruang selamat bagi mereka meluahkan perasaan, sekali gus membantu memulihkan kestabilan emosi,” jelasnya.
Katanya lagi UPSI kini merancang pelaksanaan fasa kedua bantuan yang akan menumpukan kepada kerja pembersihan pasca banjir serta penyediaan bantuan lanjutan bagi mempercepat pemulihan kawasan terjejas.
Selain Manjung, mereka turut menghantar bantuan banjir di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang kini sedang berdepan bencana sama.
Sehingga malam tadi, jumlah mangsa banjir di Perak menunjukkan peningkatan dengan lebih 3,000 orang ditempatkan di 42 PPS.
Daerah yang terjejas termasuk Manjung, Perak Tengah, Larut, Matang dan Selama (LMS), Bagan Datuk, Kuala Kangsar, Batang Padang, Hilir Perak dan Muallim.









