UMNO Perak desak kursus anjuran JAIPk dikaji semula, undang kekeliruan

Berita Perak

IPOH: Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak mendesak modul program kursus anjuran Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) yang mencetuskan kekeliruan umat Islam baru-baru ini dikaji semula.

Ia bagi mengelakkan fitnah dan salah tanggapan berterusan sehingga boleh menjejaskan kredibiliti JAIPk sebagai jabatan yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal dan kepentingan umat Islam.

Menurut kenyataan itu pada Jumaat, walaupun program berkenaan dilaporkan bertujuan mendidik peserta meningkatkan pengetahuan berkaitan kegiatan dakwah agama Islam.

Namun kaedah dan pendekatan yang digunakan cenderung menimbulkan kekeliruan dan kegelisahan umat Islam.

“UMNO Negeri Perak kesal dengan kontroversi yang timbul susulan penganjuran sebuah program kursus anjuran JAIPk yang telah mencetuskan salah tanggapan serta persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

“Sekiranya tidak ditangani dengan berhemah, isu berkenaan bukan sahaja akan menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.

“Malah boleh mencalar nama baik kerajaan negeri yang sentiasa berpegang kepada prinsip maqasid syariah dalam menjaga kesucian agama Islam,” katanya.

Jelas kenyataan itu lagi, JAIPk turut diingatkan sentiasa peka dan mendapatkan pandangan pihak berkuasa agama Islam lain termasuk Jabatan Mufti Negeri Perak dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) terlebih dahulu sebelum menganjurkan program seumpama itu pada masa hadapan.

Terdahulu, JAIPk diarah membuat penjelasan bagi membetulkan kekeliruan yang timbul susulan kursus lawatan anjurannya di sebuah rumah ibadat bukan Islam baru-baru ini.

Termasuk kenyataan yang dikeluarkan oleh salah seorang peserta kursus berkenaan.

Menurut kenyataan dikeluarkan Pejabat Menteri Besar Perak, JAIPk perlu mengkaji semula modul kursus berkenaan bagi mengelakkan fitnah dan salah faham.

Sehingga menjejaskan nama baik dan kredibilitinya sebagai jabatan yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal dan kepentingan umat Islam.