UMNO mampu bangkit jika ‘ubat’ mujarab – Tajuddin

Berita Perak

PASIR SALAK: UMNO mampu bangkit semula pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang sekiranya menerima ‘ubat’ yang tepat untuk mengembalikan semula kegemilangan parti itu.

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bagaimanapun berkata, setakat ini, UMNO masih gagal menemui rawatan sewajarnya selepas kekalahan teruk pada PRU15 lalu.

Menurutnya, UMNO perlu bekerja keras untuk menghadapi PRU16 bagi memastikan kemenangan selesa dengan mengambil maklum suara akar umbi yang dilihat dipinggirkan setakat ini.

“Kalau besok ada pilihan raya umum, kalah kita. Tapi kita ada masa sekarang ni untuk buat kerja untuk memperkukuhkan dan memperkuatkan UMNO semula.

“Kita mampu kalau betul tindakan yang diambil.

“UMNO berada dalam keadaan sekarang ni sebab dia sakit, tenat pula tu. Tapi orang sakit, kalau kena dapat ubatnya, ada pakar yang pandai mengubat dan juga ubat yang mujarab, dia boleh sihat balik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut bekas Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, masalah utama yang perlu dipulihkan dalam UMNO adalah sindrom bisu di kalangan pemimpin dah ahlinya yang pernah disuarakannya sebelum ini.

Ujar beliau, sekiranya tiada siapa yang berani bersuara, UMNO tidak mungkin mampu bangkit semula serta memenangi hati akar umbi yang dilihat semakin menjauhi parti berkenaan.