Tumpahan minyak sawit mentah di lebuh raya, trafik sesak 3 km

Berita Perak

BIDOR: Kemalangan di antara sebuah treler muatan minyak sawit mentah dengan lori menyebabkan berlaku tumpahan minyak di kilometer (KM) 348.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di sini hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kemalangan berlaku sekitar jam 12.52 tengah hari Rabu.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Tumpahan minyak itu berlaku dari sebuah treler yang membawa muatan minyak sawit mentah 45 tan metrik.

“Kebocoran itu berlaku disebabkan treler berkenaan dilanggar oleh sebuah lori lain.

“Bagaimanapun, tiada mangsa yang mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau menambah, kerja-kerja pembersihan sedang dijalankan di lokasi tumpahan minyak tersebut.

Sementara itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam kenyataan di platform Facebook memberitahu lorong kanan serta kiri terhalang susulan kemalangan itu.

Trafik juga dilaporkan sesak sepanjang 3 km.

“Terdapat kemalangan di KM 348.2 arah Selatan dari Bidor ke Sungkai. Sila patuhi arahan petugas di lokasi. Segala kesulitan yang dialami ketika ini amat dikesali,” ujar kenyataan itu.