Tukang jahit disamun lelaki menyamar penjual susu lembu

Berita Perak

IPOH: Seorang wanita yang bekerja sebagai tukang jahit disamun oleh seorang lelaki yang menyamar sebagai penjual susu lembu di Tanjung Rambutan, di sini pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Yahaya Hassan berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 38 tahun itu yang menyatakan rantai emasnya dilarikan suspek tersebut.

Katanya, siasatan awal polis mendapati pada 8 Februari lalu sekitar jam 9.10 pagi, semasa mangsa seorang diri di rumahnya, datang seorang lelaki warga tempatan yang mengaku sebagai penjual susu lembu.

“Semasa mangsa sedang berurusan dengan suspek, secara tiba-tiba dia bertindak agresif dengan menolak mangsa dan menarik dua utas rantai emas miliknya.

“Suspek mengugut akan mencederakan mangsa jika dia menjerit meminta tolong.

“Kemudian, suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal. Semasa kejadian, mangsa tidak mengalami kecederaan dan rantai yang hilang adalah rantai perkahwinan dan seutas lagi adalah pemberian bapanya,” katanya pada Ahad.

Yahaya berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Ujarnya lagi, polis sedang giat memburu suspek yang terlibat dalam kes itu.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kes, ASP Fadli Ahmad di talian 019-2500019 untuk membantu siasatan.

“Polis Daerah Ipoh menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada dan menjaga keselamatan diri dan harta benda supaya tidak berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya.