Tiga hari hanyut di laut, TLDM selamatkan dua nelayan Indonesia

Berita Perak

IPOH: Dua orang nelayan warga Indonesia berjaya diselamatkan lewat malam tadi oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) setelah hanyut di laut selama tiga hari akibat enjin bot yang dinaiki rosak.

Menurut jurucakap Cawangan Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat Lumut, bot nelayan itu dari Tanjung Balai Indonesia yang berada di laut untuk menangkap ikan sejak 19 Jun lalu.

Bagaimanapun, berlaku kerosakan enjin pada pagi Sabtu yang menyebabkan bot hanyut dan terpaksa dikendalikan secara manual.

“Dua nelayan itu masing-masing berusia 23 dan 25 tahun keletihan setelah berada dalam bot selama tiga hari dengan keadaan laut yang agak bergelora.

“Mereka bagaimanapun berjaya membawa bot tersebut menghampiri Pulau Jarak yang terletak 39 batu nautika (72 kilometer) di barat Kuala Perak pada tengah malam Isnin sebelum dibantu oleh kru Stesen Jarak TLDM.

“Atas dasar kemanusiaan, selain memberi bantuan serta perlindungan sementara, kru Stesen Jarak TLDM turut membekalkan nelayan berkenaan dengan bekalan makanan dan bantuan asas lain,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Jelas kenyataan itu lagi, bot yang mengalami kerosakan enjin juga telah dibaiki dengan bantuan kru Stesen Jarak TLDM.

Selain itu, maklumat berkaitan kejadian telah dipanjangkan kepada pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak untuk tindakan lanjut.

“Bot yang telah dibaiki itu akan diiringi keluar perairan negara oleh KM Malawali,” katanya.

Justeru katanya, sebagai sebuah insititusi yang bertanggungjawab terhadap keselamatan dan kedaulatan perairan negara, TLDM sentiasa peka terhadap aspek keselamatan dan kebajikan komuniti maritim di Malaysia.

Bantuan akan dihulurkan kepada pihak yang memerlukan tanpa mengira kewarganegaraan selari dengan undang-undang dan konvensyen antarabangsa.