IPOH: TAJ International College (TIC) menganjurkan Siri Jelajah TIC Prihatin yang telah berlangsung di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia dengan mengetengahkan tema ‘1 Keluarga Dibantu, 1 Anak
Dibimbing’
Program ini merupakan sebuah inisiatif pembangunan komuniti yang julung kali dianjurkan oleh pihak TIC.
Cetusan idea ini adalah dari Ketua Eksekutif TIC, Tina Tajuddin yang juga merupakan Tokoh Ikin Negeri Perak 2024/2025 dan juga Tokoh Pendidikan Ibu Zain 2025.
Tina berkata, program ini direka untuk memperkasa golongan B40 melalui sokongan bersepadu merangkumi bantuan asas, pendidikan dan keusahawanan.
“Selain itu, program ini memberikan sokongan menyeluruh kepada keluarga di kawasan yang terlibat.
“Setiap keluarga yang dipilih akan menerima bantuan bakul makanan selama setahun yang diagihkan setiap dua bulan serta kursus latihan dan bimbingan keusahawanan,” katanya di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, dengan kerjasama HRD Corp, latihan dan bimbingan keusahawanan secara berstruktur selama setahun disediakan.
“Selain daripada mendapat pengiktirafan daripada HRD Corp, peserta juga akan mendapat akses kepada E-Latih yang menawarkan lebih daripada 160,000 modul latihan pelbagai bidang,” ujarnya.
Tambahnya, kursus ini dapat membuka peluang ekonomi baharu dan meningkatkan pendapatan isi rumah secara keseluruhannya bagi mendepani masalah cabaran kos sara hidup kepada kumpulan
sasaran iaitu golongan B40 , khususnya miskin bandar dan miskin luar bandar.
Tina berkata, melalui program ini, usaga untuk mendapatkan pembiayaan dana dari TEKUN, MARA, AIM juga akan diberikan kepada golongan B40 bagi mewujudkan peluang ekonomi baharu kepada mereka.
“Selain itu, program ini memberi peluang besar kepada pendidikan untuk pelajar B40 yang terpilih di kawasan negeri yang terlibat.
“Anak-anak daripada keluarga B40 yang terpilih akan dibimbing dan disokong untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma dalam program Cikgu Next Gen dan TVET Profesional di TIC,” katanya.
Jelasnya, sokongan kewangan yang ditawarkan termasuk zakat, yayasan negeri, Tabung TIC Prihatin biasiswa industri atau penginapan, biasiswa separa dan bantuan wang saku TIC juga akan disediakan.
Menurutnya, program ini juga selari dengan aspirasi Parlimen dalam melahirkan lebih ramai anak tempatan yang berjaya dan berpendidikan tinggi serta menyokong hasrat kerajaan iaitu 1 Keluarga B40, 1 anak ke Universiti.
Katanya, pemilihan peserta bagi program ini adalah secara terarah dan telus mengikut kawasan terpilih.
“Kami mencadangkan hanya 100 orang pelajar dan 100 keluarga sahaja akan dipilih dari setiap
kawasan yang terlibat, berdasarkan proses tapisan yang adil dan tersasar.
“Sudah tentu keutamaan akan diberikan kepada keluarga yang benar-benar memerlukan, serta pelajar yang menunjukkan potensi dan semangat tinggi untuk berjaya,” ujarnya.
Tina yakin, melalui program TIC Prihatin, keluarga yang kurang berkemampuan juga mampu dan berhak untuk melihat anak-anak mereka berjaya.
“Kami di TIC bukan sahaja menawarkan peluang pendidikan, malah turut menyalurkan bantuan kebajikan dan bimbingan sepanjang pengajian,” tambahnya.
Menurut beliau, program ini mendapat kerjasama strategik daripada pelbagai pihak sepetti Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), IMIKA Resources Sdn. Bhd., Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN), TEKUN Nasional, iKon Wanita Malaysia dan Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK).
Malah, katanya, terdapat empat Universiti Awam iaitu Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), dan Universiti Malaya (UM) yang menjadi rakan strategik yang menyokong program Cikgu Next Gen serta membuka peluang dan laluan khas kepada para pelajar untuk melanjutkan pengajian keperingkat Ijazah Sarjana Muda.
Dalam masa sama, katanya, beberapa universiti turut terlibat dalam mendukung usaha TVET Profesional adalah DRB Hicom University, GEOMATIKA University dan TATI University yang memfokuskan Program Ijazah Sarjana Muda dalam bidang TVET.
Sementara itu, beberapa pelajar dan ibu bapa menyambut baik program TIC Prihatin yang memberi peluang kedua kepada pelajar untuk memperbaiki diri dan keluarga.

