IPOH: Tiada lagi budaya ‘kapla’ atau gangsterime yang wujud di asrama sekolah di negeri Perak, kata Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah.
Beliau berkata, dapatan itu adalah hasil siasatan yang dilakukan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak dan maklumat yang diperolehi daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurutnya, kerajaan negeri melalui JPN Perak telah dan akan melaksanakan beberapa langkah dan kaedah untuk meningkatkan lagi tahap keselamatan pelajar di asrama, khususnya dari gejala buli.
Katanya, antara kaedah yang digunakan ialah pemantauan murid berisiko dengan menggunakan data dari saringan minda sihat dan rekod disiplin untuk mengenal pasti murid yang berisiko menjadi pembuli atau mangsa buli.
“Modul pendidikan kemanusiaan turut digunakan untuk
menerapkan nilai-nilai seperti
empati, toleransi, hormat-menghormati dan anti-kekerasan diserapkan melalui program sekolah penyayang, mentor mentee dan penghargaan kepada murid,” katanya ketika menjawab soalan lisan Berhanudin Ahmad (PN Manong) di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini, hari ini.
Beliau berkata, kesedaran tentang undang-undang dan jenayah turut dilakukan bagi mendedahkan pelajar kepada akibat jenayah menerusi ceramah oleh pihak polis serta program anti buli dan hari kesedaran mental.
“Selain dari itu, JPN Perak juga turut memperkasakan program sistem keluarga asrama (SisKA) yang berbentuk kekeluargaan antara guru-guru sekolah, ibu bapa dan guru kaunseling serta perlu dibugarkan semula agar dapat
merapatkan lagi hubungan antara sesama murid, guru dan ibu bapa,” ujarnya.
Beliau berkata, gejala buli merupakan isu yang mendapat perhatian masyarakat tambahan
pula apabila berlakunya kes di Sabah (kes Zara Qairina) pada 16 Julai lalu.
Menurut Khairudin, kerajaan negeri melalui JPN Perak melaksanakan lawatan mengejut pengurusan tertinggi termasuk dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pegawai asrama bagi mengelakkan isu-isu tersebut berlaku dan berulang .
“Slogan dan laungan “kami benci buli” dilaksanakan pada setiap
kali perhimpunan atau “roll-call”, selain melakukan rondaan berkala warden asrama dan menyediakan laporan harian dalam buku laporan harian warden,” ujarnya.
Selain itu, tambahnya, rondaan pengawal keselamatan termasuk sekeliling bangunan asrama dan
tempat-tempat “spot” serta pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di asrama.
Dalam masa sama, kata Khairudin pihak sekolah turut membuat pemantauan peti aduan asrama agar dapat segera ditangani dan
diselesaikan sekiranya terdapat sebarang aduan dan isu yang berkaitan.
Beliau memberitahu, berdasarkan rekod, sebanyak 85 kes buli dilaporkan berlaku di Perak tahun lalu di mana 23 bes berlaku di luar sekolah, 23 kes melibatkan cikgu dan 53 kes di sekolah.
Menurutnya, sehingga Ogos tahun ini, sebanyak 49 kes buli dilaporkan, di mana 14 kes berlaku di asrama dan 30 kes di sekolah biasa.