IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) memaklumkan bahawa tempoh pelaksanaan projek membaikpulih Jambatan Jalan Tun Abdul Razak, Ipoh telah dilanjutkan sebulan lagi daripada tarikh asal 6 Januari lalu kepada 6 Februari depan
Menurut kenyataan MBI, lanjutan itu dibuat setelah mengambil kira keperluan penyelarasan awal projek bagi memberi ruang kepada sambutan perayaan Deepavali, memandangkan skop kerja projek melibatkan pembukaan serta perobohan struktur asal jambatan yang memberi kesan langsung kepada pergerakan trafik dan aktiviti masyarakat setempat.
Selain itu, katanya, keadaan cuaca hujan lebat dan tidak menentu yang bermula pada bulan November dan Disember 2025 juga menjadi faktor penyumbang kepada kerja-kerja di tapak kerap tertangguh.
“Hal ini berlaku kerana, pihak MBI Majlis lebih mengutamakan akan faktor keselamatan, kualiti kerja serta kepatuhan kepada spesifikasi teknikal,” katanya hari ini.
Bagaimanapun, kata kenyataan itu, pihak MBI mengambil maklum keperluan pengguna laluan jambatan terbabit bagi tujuan perayaan Thaipusam yang melibatkan aktiviti perarakan kavadi dan orang perseorangan untuk penyempurnaan upacara tersebut.
Sehubungan itu, pihak MBI membenarkan laluan berkenaan digunakan untuk tujuan perayaan tersebut sahaja yang bermula pada 28 Januari hingga 2 Februari depan dengan pematuhan syarat-syarat tertentu.
MBI memberi jaminan bahawa pelanjutan tempoh itu adalah langkah yang perlu dan bertanggungjawab bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya, kualiti pembinaan jambatan serta kepentingan jangka panjang pembangunan bandar raya Ipoh.
“Segala usaha sedang dan akan terus dilaksanakan bagi meminimumkan gangguan kepada orang awam sepanjang tempoh kerja berlangsung,” ujarnya.
MBI amat menghargai kerjasama, kesabaran dan sokongan orang ramai demi memastikan projek itu dapat disiapkan dengan selamat, teratur dan memberi manfaat berterusan kepada warga Ipoh.









