Sultan Nazrin berangkat meriahkan sambutan Aidilfitri Menteri Besar Perak bersama 15,000 rakyat

Berita Perak

LENGGONG: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Lenggong di sini, hari ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Shah.

Keberangkatan tiba Sultan Nazrin kira-kira pada jam 12 tengah hari disambut Menteri Besar Perak dan isteri, Datin Seri Aezer Zubin.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid; Menteri Sains, Teknologi dan Imovasi, Chang Lih Kang; Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah, Exco Kerajaan Negeri Perak, wakil-wakil rakyat dan kenamaan lain.

Lebih 15,000 orang daripada pelbagai kaum memeriahkan sambutan sambil menikmati juadah yang disediakan.

Saarani di dalam ucapannya berkata, sambutan Aidilfitri membuktikan kemajmukan budaya, kaum dan agama yang menjadi simbol keunikan rakyat Malaysia selama ini, tidak pernah menjadi halangan kepada keharmonian dan keamanan di negara, termasuk di negeri Perak.

Menurutnya, kekuatan itulah yang menjadi benteng untuk memastikan kemakmuran dan kesejahtera negeri dan negara terus terpelihara.

“Kekuatan itulah, yang sekian lama menjadi benteng dalam kita mempertahankan keamanan dan keharmonian negara.

“Ia dipupuk berkat ikatan ukhwah dan perpaduan rakyat termasuklah di bumi Perak Darul Ridzuan ini, yang sentiasa tegar bergandingan, menyuburkan semangat kekitaan dan menepis budaya perpecahan,” ujarnya.

Beliau berharap sambutan Aidilfitri kali ini menghadirkan hikmah yang besar buat seluruh rakyat agar sentiasa memperteguhkan sifat saling hormat menghormati, kasih mengasihi serta saling lengkap melengkapi antara satu sama lain.