IPOH: Semua Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perak, termasuk pembangkang telah menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM20,000 seperti yang diumumkan pada Belanjawan 2026 tahun lalu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bayaran tersebut telah dimasukkan ke dalam akaun pusat khidmat ADUN berkenaan semalam.
Menurutnya, bantuan itu adalah tambahan kepada elaun pengurusan bulanan RM10,000 yang disalurkan setiap bulan.
Sehubungan itu, beliau menafikan dakwaan kononnya ADUN pembangkang langsung tidak menerima peruntukan secara terus daripada kerajaan negeri.
“Daripada RM10,000 yang disalurkan setiap bulan kepada semua Pusat Khidmat DUN, RM7,000 pertama hendaklah digunakan untuk tujuan pengurusan dan pentadbiran Pusat Khidmat seperti membayar sewa pejabat, gaji pekerja, bil utiliti dan sebagainya manakala baki RM3,000 lagi boleh digunakan untuk tujuan lain seperti membantu rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Eksecutive Talk dan Perutusan Tahun Baharu 2026 Bersama Penjawat Awam Negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina Meru, di sini, hari ini.
Saarani berkata, tujuan beliau memaklumkan perkara itu ialah kerana ada ADUN pembangkang memberitahu rakyat bahawa mereka tidak menerima peruntukan dari kerajaan.
“Ada beberapa peristiwa apabila orang ramai berkunjung ke Pusat Khidmat pembangkang tetapi wakil rakyatnya kata tak ada duit sebab kerajaan tak bagi dan suruh pergi minta kepada Pusat Khidmat Barisan Nasional (BN).
“Itu salah sebab seperti saya katakan semua Pusat Khidmat ADUN di Perak ini dapat RM10,000 sebulan.
“Kalau setiap bulan baki RM3,000 didarabkan 12 bulan setahun dan dicampur RM20,000 BKK maknanya setahun ada RM56,000 boleh dibelanjakan oleh YB-YB (wakil rakyat),” jelasnya.





