Selepas sebulan, banjir kembali, air naik ke paras dada

Berita Perak

PARIT: Baru bulan lepas Kampung Parit 6, Layang-Layang Kiri, dekat sini dilanda banjir selama beberapa hari.

Belum pun hilang lelah membersihkan rumah, banjir kembali melanda sejak Isnin, tetapi kali ini lebih teruk, menyebabkan beberapa rumah dinaiki air sehingga paras dada.

Pesara Felcra, Shafiee Bhashim, 74, berkata, insiden banjir kali ini jauh lebih buruk kerana paras air naik terlalu cepat, memaksanya segera berpindah sementara ke rumah ahli keluarga yang lain.

“Lebih kurang pukul 2 petang air mula masuk dalam rumah. Ada yang sempat angkat, ada yang tak sempat angkat tu hanyut dalam rumah la.

“Habis tu pakat-pakat jom pindah, mestilah tak kanlah nak duduk dalam rumah banjir ni,” katanya sambil memberitahu awalnya dia berpindah ke rumah mentua.

Ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Layang-Layang Kiri, datuk kepada 10 orang cucu itu
mengakui pengalaman banjir sebelum ini membuatnya lebih bersedia dan menempatkan perkakasan rumah ke tingkat atas.

Seorang lagi mangsa, Ku Shahbudin Ku Ismail, 60, turut mengakui kejadian banjir kali ini merupakan yang paling buruk baginya.

“Yang ni yang paling teruk pasal saya pun tak balik lagi, ada anak sedara pun dah balik, mungkin (air) dekat dada dalam rumah.

“Barang-barang lain, cuma saya dah buat rumah tu dua tingkat, yang satu dibelakang memang saya kata tenggelam lah.

“Kalau dulu air mungkin di bawah rumah tu, tapi kali ni mungkin tenggelam lah,” ujarnya.

Seorang lagi mangsa, Ahmad Jaafar yang berkerusi roda berkata, air banjir mula naik seawal jam 5 pagi dan memasuki rumah hingga paras lutut sekitar jam 8 pagi.

“Sebelum air naik, saya dah naik tangga pasal rumah dua tingkat, anak saya tolong naikkan lah ke tingkat atas.

“Lebih kurang dalam pukul 8 lebih tair dah makin tinggi dan ada anggota polis dengan bot polis datang ambil saya,” katanya yang turut mengakui banjir kali ini lebih teruk berbanding yang terdahulu.

Sementara itu, beberapa mangsa mendakwa, ketika kejadian, benteng sebuah ladang berhampiran dipercayai pecah sehingga memburukkan lagi situasi banjir di kampung mereka.

Mereka berharap agar pihak terbabit dapat segera melakukan kerja-kerja pemulihan dan menambah baik benteng berkenaan supaya insiden sama tidak lagi berulang.