RM3.5 juta naik taraf sistem kumbahan Medan Klebang, Chemor

Berita Perak

IPOH: Penduduk Medan Klebang Prima, Chemor bakal menikmati sistem kumbahan yang lebih selamat dan berfungsi dengan baik susulan kelulusan peruntukan RM3.5 juta oleh Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) bagi kerja membaik pulih Loji Rawatan Kumbahan (STP) dan saluran paip pembentungan di kawasan tersebut.
 

Menurut Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Datuk Redza Rafiq Abdul Razak masalah itu berpunca daripada mendapan tanah di beberapa lokasi yang menjejaskan jajaran paip kumbahan dan menyebabkan sebahagian sistem gagal berfungsi dengan sempurna, sekali gus memberi kesan kepada alam sekitar serta kesejahteraan penduduk.
 

Katanya, ia telah menimbulkan kesulitan kepada penduduk sejak beberapa tahun lalu, termasuk gangguan sistem kumbahan, limpahan air sisa dan bau kurang menyenangkan yang menjejaskan keselesaan harian serta menimbulkan kebimbangan terhadap aspek kesihatan dan keselamatan.

“Masalah yang berlarutan ini turut memberi tekanan kepada penduduk dan menjejaskan kualiti hidup mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 
Skim perumahan yang merangkumi 614 unit rumah kos rendah dan enam unit kedai desa ini dibangunkan oleh PKNPk melalui anak syarikatnya Majuperak Holdings Berhad (MHB) dan telah diduduki sejak tahun 2006.
 

Redza Rafiq berkata kelulusan peruntukan itu membolehkan kerja membaik pulih dilaksanakan secara menyeluruh sebelum sistem diserahkan kepada Indah Water Konsortium (IWK).
 

“Isu yang sekian lama membelenggu penduduk ini kini bakal diselesaikan secara komprehensif menerusi tindakan pantas serta pelaksanaan kerja naik taraf yang dirancang rapi, sejajar dengan keperluan teknikal dan garis panduan pihak kawal selia” ujarnya.


Menurutnya, projek itu merupakan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam merealisasikan aspirasi Perak Sejahtera 2030 (PS2030) serta mendukung agenda Kerajaan MADANI yang menekankan pembangunan bandar lestari, persekitaran bersih dan kesejahteraan rakyat.

Inisiatif ini bukan sekadar projek pembangunan fizikal, tetapi satu langkah strategik yang membuktikan kesungguhan Kerajaan menterjemahkan dasar kepada tindakan yang memberi impak langsung kepada rakyat.
 

Beliau menegaskan bahawa kesinambungan yang kukuh antara kelulusan fiskal, pelaksanaan projek dan manfaat kepada komuniti mencerminkan pendekatan tadbir urus berasaskan hasil yang diamalkan Kerajaan.

Katanya, pendekatan itu memperlihatkan keutamaan terhadap akauntabiliti, ketelusan serta keberkesanan pelaksanaan di peringkat akar umbi, selaras dengan semangat Malaysia MADANI yang mengutamakan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.

 
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MHB, Encik Muhammad Yazurin Sallij pula berkata kerja membaik pulih melibatkan pemeriksaan teknikal menggunakan CCTV, penggantian paip rosak serta pemulihan jajaran pembentungan bagi memastikan sistem kembali berfungsi dengan sempurna sebelum penyerahan kepada IWK dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara(SPAN).
 

Menurutnya, proses tender terbuka akan dilaksanakan selaras dengan Pekeliling Perolehan Kerajaan Malaysia bagi memastikan ketelusan serta pematuhan spesifikasi teknikal.
 

Peruntukan RM3.5 juta itu telah disampaikan oleh Ahli Parlimen Tambun merangkap Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan disaksikan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, baru-baru ini.