Restoran terkenal di Ipoh diserbu, 12 PATI ditahan

Berita Perak

IPOH: Seramai 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam serbuan yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Perak di dua premis perniagaan terkenal di sini, pada Jumaat.

Timbalan Pengarah JIM Perak, Sharmanrizal Rustam berkata, kesemua tahanan terdiri daripada 11 lelaki warganegara Myanmar dan seorang wanita Indonesia.

Katanya, serbuan di dua lokasi itu dijalankan sekitar jam 8.15 pagi hingga 9.30 pagi.

“Pemeriksaan dilakukan di dua lokasi iaitu di sebuah restoran yang sangat terkenal di Ipoh dan menjadi tumpuan pelancong dari luar Ipoh khususnya serta luar Perak amnya.

“Satu lagi premis yang diserbu ialah rumah kedai yang terletak di tingkat atas restoran tersebut yang dijadikan asrama bagi pekerja restoran.

“Semasa serbuan dilakukan kesemua mereka sedang sibuk bekerja tanpa menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Operasi tersebut melibatkan 12 orang pegawai. Hasil daripada operasi yang dilaksanakan, pemeriksaan telah dibuat ke atas 22 individu,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambah Sharmanrizal, kesemua warga asing tersebut ditangkap dan ditahan bagi tujuan siasatan kerana dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Iaitu tidak memiliki sebarang pas yang sah untuk berada di dalam negara ini, Seksyen 15(1) (c) iaitu telah tinggal lebih masa dan kesalahan di bawah Peraturan 39(b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas.

Katanya lagi ia turut disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan juga Akta Pasport 1966.

“Siasatan ke atas majikan dan pemilik premis perniagaan yang membenarkan PATI berada di dalam premis mereka juga akan dilaksanakan.

“Dan mereka akan dikenakan tindakan tegas jika didapati melakukan kesalahan berkaitan,” katanya.

JIM Perak turut berharap masyarakat dapat membuat laporan atau aduan bagi membantu membanteras kebanjiran PATI dalam
negara.

JIM juga akan mengambil tindakan tegas terhadap majikan atau individu yang menggaji atau melindungi PATI termasuk pendakwaan di mahkamah.