IPOH: Politeknik Ungku Omar (PUO) melakar satu lagi pencapaian membanggakan apabila Rakan Siswa YADIM (RSY) PUO diiktiraf sebagai penerima Anugerah Khas Rakan Siswa YADIM Terbaik sempena Konvensyen Madani Rakan Siswa YADIM 2025 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 31 Oktober hingga 2 November.
Menurut kenyataan PUO, pengiktirafan itu diberikan sebagai menghargai kepimpinan dinamik dan kecemerlangan gerak kerja dakwah RSY PUO sesi 2024 / 2025 yang diterajui Pengerusinya Nur Sumayyah Mohd Yusof, yang aktif menjalankan pelbagai inisiatif di peringkat kampus, nasional dan antarabangsa.
Katanya, antara pencapaian utama yang menjadi faktor pemilihan termasuk kejayaan menganjurkan Misi Kemanusiaan Antarabangsa MADANI Kemboja 2025 (MADA’25),
Multaqa MADANI PolyCC Peringkat Kebangsaan serta inisiatif menggerakkan penubuhan semula RSY di 36 politeknik seluruh negara.
“RSY PUO turut mencatat
keahlian tertinggi kebangsaan dengan hampir 800 ahli aktif,” kata kenyataan itu hari ini.
Majlis perasmian penutup disempurnakan oleh Yang Dipertua YADIM, Datuk Dr. Hasan
Bahrom yang mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar.
Menurut kenyataan itu lagi, majlis turut menyaksikan penyampaian watikah pelantikan Majlis Pimpinan Tertinggi RSY Kebangsaan Sesi 2025/2026, yang turut menyaksikan pelantikan semula
Nur Sumayyah sebagai antara pemimpin utama.









