Program ziarah mahabbah MAIPk bersama komuniti Orang Asli Tebang

Berita Perak

GERIK: Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) dengan kerjasama Zakat Perak Al-Ridzuan dan MUBARAK Gerik telah melaksanakan Program Ziarah Mahabbah dan Bantuan Kotak Makanan serta Beras Fidyah di Perkampungan Orang Asli Tebang, Gerik.

Menurut kenyataan MAIPk, program itu bertujuan menyantuni komuniti Orang Asli serta menyalurkan bantuan keperluan asas kepada golongan yang memerlukan.

Katanya, sebanyak 30 kotak makanan berserta beras fidyah telah diserahkan kepada penerima sebagai usaha meringankan beban kos sara hidup harian.

“Penyerahan bantuan disempurnakan oleh Pengurus Besar MAIPk Zon Timur, Zul-Azri Hosaini, yang turut berkesempatan berinteraksi secara dekat dengan komuniti setempat bagi memahami keperluan serta cabaran yang dihadapi,” katanya.

Turut hadir wakil MUBARAK Gerik Muhammad Sayuti Mohd Shaiful Bahari.

Menurut kenyataan itu lagi, program tersebut mencerminkan komitmen berterusan MAIPk dan rakan strategik dalam memastikan agihan zakat dan fidyah dilaksanakan secara beramanah, menyeluruh dan menyantuni golongan asnaf serta komuniti pedalaman di negeri Perak.