Polis siasat tular anggota tentera bergaduh di stadium

Berita Perak

LUMUT: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung insiden pergaduhan melibatkan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Stadium Pangkalan TLDM Lumut, Isnin lalu, yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah, berkata, setakat ini belum ada sebarang tangkapan dibuat.

Katanya, dalam kejadian jam 7.15 malam itu, lelaki berusia 26 tahun cedera di muka, rusuk kanan, leher kiri dan kepala akibat dipukul beramai-ramai.

Menurutnya, mangsa diserang ketika menyaksikan perlawanan bola sepak antara unit Markas Pangkalan TLDM Lumut (MKPL) dan Pasukan Khas Laut (PASKAL).

“Mangsa mendakwa penyokong PASKAL di dalam stadium memukulnya secara beramai-ramai kerana tidak berpuas hati.

“Dakwa mangsa, pemukul menuduhnya menunjukkan isyarat jari tengah kepada mereka sedangkan mangsa tidak berbuat demikian.

“Mangsa yang cedera di muka, rusuk kanan, leher kiri dan kepala sudah menerima rawatan di Hospital Angkatan Tentera,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamed Nordin berkata, mangsa membuat laporan polis pada jam 12.53 tengah hari, Selasa lalu.

Menurutnya lagi, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana melakukan rusuhan.

Jika sabit kesalahan suspek boleh dihukum dengan penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

“Orang ramai dinasihatkan agar membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

“Mereka yang mempunyai sebarang maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat, Sarjan Mohd Nazari Yaakob di talian 017-5729646 bagi membantu siasatan pihak polis,” katanya.

Terdahulu tular video pergaduhan berdurasi 17 saat tular di media sosial sejak Selasa, memaparkan sekumpulan lelaki dipercayai anggota TLDM tolak-menolak di luar pekarangan Stadium TLDM Lumut.