TANJUNG MALIM: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya merampas 51 kilogram dadah bernilai RM2 juta dan menahan tiga individu, termasuk sepasang suami isteri di tempat letak kereta Pusat Perniagaan Slim Perdana, Slim River pada Isnin.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, suspek lelaki berusia 25 tahun adalah ‘transpoter’ yang dibantu isterinya, juga 25 tahun dan rakannya yang berusia 27 tahun.
Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas sebuah kereta jenis Proton Preve, pasukan serbuan menjumpai 50 bungkusan plastik yang mempunyai serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine dalam bonet belakang.
“Jumlah dadah yang dirampas ini dianggarkan bernilai RM2 juta dan boleh digunakan oleh seramai 260,000 orang penagih,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim, di sini, hari ini.
Beliau berkata, walaupun nilai dadah yang dirampas hanya RM2 juta tetapi sindiket itu yang telah aktif sejak awal tahun ini dipercayai mempunyai kaitan dengan beberapa tangkapan di Lembah Kelang yang melibatkan rampasan pelbagai jenis dadah seberat 320 kilogram.
“Pihak kita masih lagi meneruskan kita punya siasatan, tindakan dan kita percaya dalam masa terdekat kita akan dapat lebih banyak lagi rampasan dan tangkapan, kita tengah buat susulan.
“Sebelum ni kita pernah tangkap beberapa kes di Lembah Kelang yang melibatkan jumlah nilai yang besar yang melibatkan sindiket yang sama.
“Tangkap ini semua yang kita buat tangkapan tu lebih kepada dia punya transpoter, dia punya runner, dia punya pembantu,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Kom Chin berkata, modus operandi sindiket ini adalah menyeludup masuk dadah dari sempadan utara Malaysia untuk dipasarkan di Lembah Kelang.
Menurutnya, tiga suspek yang ditahan direman tujuh hari mulai 12 hingga 18 November dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya, saringan awal polis mendapati hanyak suspek pertama yang positif dadah jenis Methamphetamine manakala isteri dan rakannya negatif.
“Semakan rekod jenayah menti hanya suspek pertama mempunyai rekod jenayah lampau iaitu rekod kes jenayah dan rekod dadah manakala dua lagi suspek tiada rekod,” tambahnya.