Polis Perak turut dukacita insiden nahas dua helikopter TLDM

Berita Perak

IPOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Perak menzahirkan rasa dukacita di atas insiden nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut pada Selasa.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri yang mewakili seluruh anggota PDRM Perak merakamkan ucapan takziah kepada keluarga 10 pegawai dan anggota TLDM yang terkorban dalam nahas berkenaan.

“Semoga roh wira-wira negara yang telah terkorban dalam nahas itu, akan ditempatkan dalam kalangan para syuhada,” katanya dalam sembah ucapan di Majlis Sambutan Hari Raya Aidil Fitri PDRM Kontinjen Perak di Markas Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Unit 5, Sungai Senam, di sini, malam ini.

Beliau turut mengajak hadirin bersama-sama membaca Surah Al – Fatihah, untuk disedekahkan kepada wira-wira negara yang terkorban.

Terdahulu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidil Fitri PDRM Kontinjen Perak di Markas Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Unit 5, Sungai Senam, di sini, malam ini.

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Ja’afar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Shah.

Keberangkatan tiba baginda berdua pada jam 8.30 malam disambut Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.

Turut hadir, barisan exco kerajaan negeri dan beberapa orang kenamaan.

Pada majlis itu, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara turut berkenan menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim warga PDRM Perak.

Sebelum berangkat pulang kira-kira jam 10.30 malam, baginda berdua berkenan meninjau gerai -gerai makanan yang dikendalikan 16 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) seluruh Perak sebelum diakhiri dengan pertunjukan bunga api.