Polis cari waris mayat wanita ditemui di Kampung Gajah

Berita Perak

PASIR SALAK: Polis sedang mencari waris mayat seorang wanita tanpa identiti yang ditemukan terdampar di tebing Sungai Kinta, Kampung Gajah dekat Jeti Matang Pelanduk, Teluk Intan.

Menurut Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Hafezul Helmi Hamzah, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mayat tersebut pada 24 Januari lalu, sekitar jam 10.30 malam.

Katanya, identiti dan bangsa mayat yang ditemui tanpa pakaian itu belum dikenal pasti dan mangsa ditemui dalam keadaan tidak sempurna.

“Ciri-ciri mayat dijumpai iaitu wanita dewasa anggaran umur 30 hingga 40-an.

“Badan berisi, mempunyai ketuat pada kelopak mata kiri, lubang anting-anting pada kedua belah telinga, beberapa gigi belakang sudah tiada dan mempunyai ketinggian sekurang-kurangnya 135 cm,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Tambah Hafezul Helmi, hasil bedah siasat yang dijalankan di Forensik Hospital Teluk Intan mendapati punca kematian disebabkan ‘multiple blunt injuries’.

Sehubungan itu katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Sesiapa yang mempunyai maklumat berkenaan dengan kejadian dan orang hilang boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, ASP Hamzanni Abdul Ghani di talian 019-5732880.