Polis buru dua lelaki samun pasangan suami isteri di bilik sewa

Berita Perak

TELUK INTAN: Polis sedang memburu dua lelaki yang terbabit dalam kes samun sepasang suami isteri di bilik sewa mereka dekat Jalan Changkat Jong, di sini pada pada 6 Mac lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, pasangan suami isteri warga tempatan, masing-masing berusia 48 dan 41 tahun itu bekerja sebagai pembantu kedai makan di sebuah restoran di sini.

Katanya, kejadian samun tanpa senjata itu berlaku sekitar jam 12.30 tengah malam.

“Laporan polis dibuat pada 8 Mac di Balai Polis Teluk Intan. Mangsa berkata 6 Mac lalu, semasa mangsa dan isteri tiba di bilik sewa mereka didatangi dua suspek yang tidak bersenjata.

“Suspek disyaki warga tempatan telah mengugut dan memaksa mangsa untuk membuka pintu bilik.

“Dalam masa sama, suspek berkata akan mencederakan mangsa jika pintu tidak dibuka.

“Oleh kerana ketakutan, mangsa menuruti permintaan suspek,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ahmad Adnan berkata, setelah pintu dibuka, suspek telah menggeledah bilik dan menemui wang tunai simpanan mereka berjumlah RM 32,000 yang disimpan dalam beg pakaian.

Katanya, setelah itu, suspek sempat menarik salah seorang mangsa masuk ke dalam sebuah kereta namun mangsa berjaya melarikan diri dari tempat kejadian.

“Kedua-dua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan semasa kejadian.

“Hasil siasatan rakaman kamera litar tertutup mendapati kedua-dua suspek berumur lingkungan awal 30-an, berbadan gempal serta berketinggian sekitar 175 cm,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan sebab mengapa mangsa lambat membuat laporan polis adalah kerana panik dan takut diganggu semula oleh suspek.

“Mereka kemudian tampil membuat laporan setelah diarah berbuat demikian oleh pemilik restoran tempat mereka bekerja,” katanya lagi.

Sehubungan itu, katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara yang boleh sampai 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut, boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Insp. Hasryman Osman di 05-6233969 atau 011-63319773.