IPOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya membongkar stor simpanan dadah yang didalangi sindiket warga asing dan merampas dadah jenis methamphetamine dan ecstasy bernilai RM37.3 juta dalam serbuan di sebuah banglo di Ipoh, minggu lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussien Omar Khan berkata, dalam serbuan bersama JSJN Bukit Aman dan Perak pada 16 Januari lalu, polis turut menahan seorang lelaki dan wanita tempatan berumur dalam lingkungan 30-an.





Menurutnya, sindiket itu adalah sebahagian daripada sindiket besar yang didalangi warga asing yang dipercayai telah menjalankan operasi makmal dadah haram di Lembah Kelang, Ipoh dan Pulau Pinang.
“Pihak polis percaya melibatkan sindiket satu sindiket yang besar antarabangsa yang menggunakan Malaysia sebagai pusat memproses dadah dan juga pusat pengedaran dadah.
“Dadah-dadah yang proses ini jumlah dia bukan saja untuk kegunaan tempatan tetapi juga untuk pasaran antarabangsa.
“Pihak polis akan terus mengesan sindiket ini dan kita percaya akibat daripada serbuan pada bulan Oktober, November tahun lepas, sindiket ini yang dianggotai oleh beberapa warganegara asing menggunakan beberapa warganegara tempatan sebagai koordinator dan transporter mereka telah melarikan daripada negara ataupun mengurangkan aktiviti mereka,” katanya.
Bercakap dalam sidang media di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, hari ini, beliau berkata, dalam serbuan itu, polis merampas dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 843.33 kilogram; cecair dan serbuk disyaki bahan kimia (679.22 kg).
Selain itu, katanya, turut dirampas pelbagai peralatan memproses dadah dan bahan yang telah diproses menjadi ketulan simen yang mengandungi dadah jenis ecstasy seberat 618.24 kilogram.
Menurut Hussien, sindiket itu dipercayai aktif sejak Disember 2024 dan dadah yang dirampas boleh digunakan oleh 8.4 juta penagih.
Katanya, kedua-dua suspek yang ditahan mempunyai beberapa rekod jenayah lampau dan direman selama 13 hari bermula 17 hingga 29 Januari.
Dalam masa sama, JSJN sedang mengesan seorang lelaki warganegara China yang dipercayai telah keluar masuk ke negara ini sebanyak lima kali dengan yang terakhir, Ogos lalu.
Polis juga percaya rumah banglo yang diserbu juga dalam proses untuk dijadikan makmal dadah haram kerana mengandungi pelbagai bahan untuk memproses bahan larangan itu.
“Kalau kita lambat bertindak, premis ni akan menjadi satu makmal dadah haram yang boleh memproses dadah dalam jumlah yang besar,” katanya.





