Polis berkas enam lelaki, tumpas sindiket jual air ketum aktif sejak 2022

Berita Perak

IPOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan sindiket penjualan air ketum selepas memberkas enam lelaki dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Pakatan Jaya, di sini, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, dalam serbuan kira-kira jam 12.10 pagi itu, polis turut merampas 10 tong ais yang mengandungi 3,000 bungkus air ketum dianggarkan 900 liter; 35 bungkusan hitam mengandungi kira-kira 350 kilogram (kg) daun ketum; tiga unit tong gas 14 kg dan dua unit periuk.

Menurutnya, nilai keseluruhan bungkusan air ketum dan daun ketum yang dirampas dianggarkan berjumlah RM41,000.

“Hasil ujian saringan air kencing kesemua suspek yang berumur antara 24 hingga 42 tahun itu mendapati hanya seorang positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tambahnya, semakan rekod lampau mendapati seorang suspek pernah ditangkap atas dua kesalahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983 dan satu kesalahan di bawah Seksyen 6(1) akta yang sama manakala seorang lagi pernah ditangkap atas satu kesalahan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Menurut Abang Zainal Abidin, berdasarkan siasatan, sindiket ini dipercayai mula aktif dalam aktiviti pengedaran air ketum sejak tahun 2022.

Katanya, air ketum yang dirampas adalah untuk pasaran sekitar kawasan Ipoh dan boleh dibekalkan kepada lebih 3,000 orang penagih ketum.

Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurutnya, kesemua suspek direman selama tiga hari bermula 22 November bagi membantu siasatan lanjut pihak polis.