Petugas keselamatan, kebersihan antara terima agihan daging sempena Program Qurban Perdana PUO 2024

Berita Perak

IPOH: Pusat Islam Politeknik Ungku Omar (PUO) telah menganjurkan program korban perdana yang berlangsung dengan penuh keberkatan dan dalam semangat kebersamaan.

Program itu melibatkan penyembelihan dua ekor lembu, yang merupakan hasil sumbangan daripada warga politeknik dan individu.

Menurut kenyataan PUO, program itu antara lain bertujuan untuk memperkukuhkan lagi semangat kerjasama dan ukhuwah antara warga PUO serta menghargai sumbangan dan jasa petugas kebersihan dan keselamatan yang telah banyak berbakti kepada institusi ini.

“Program ini bukan sahaja melibatkan agihan daging korban kepada petugas kebersihan dan keselamatan, tetapi juga kepada semua warga PUO yang tersenarai,” kata kenyataan itu hari ini.

Majlis penyampaian sumbangan telah disempurnakan oleh Pengarah PUO, Dr. Shamsuri Abdullah.

Dalam ucapannya, Dr. Shamsuri menegaskan pentingnya amalan korban dalam mengeratkan hubungan sesama manusia serta sebagai manifestasi rasa syukur dan keikhlasan.

Katanya, program seperti itu dapat memupuk nilai-nilai murni dan semangat gotong-royong dalam kalangan warga politeknik.

Proses penyembelihan dan agihan daging korban dijalankan dengan lancar, berkat kerjasama erat daripada pelbagai pihak.

Daging korban yang telah diagihkan diharapkan dapat memberi manfaat dan sedikit sebanyak meringankan beban mereka yang menerima.