Perak tidak benarkan caj 20 sen beg plastik

Berita Perak

IPOH: Semua pasar raya dan premis perniagaan di negeri ini tidak dibenarkan mengenakan caj 20 sen bagi penyediaan semua jenis beg plastik kepada pelanggan.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Teh Kok Lim berkata, larangan itu berkuatkuasa sepenuhnya mulai 1 Mac depan.

Menurutnya, jika didapati masih berlaku, pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mengambil tindakan yang sewajarnya.

“Sekarang dah tak adalah, kedai dah tak patut jual beg plastik. Kalau dia nak jual beg, dia kena guna beg kitar semula,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat kelestarian plastik di sebuah pusat membeli belah di Ipoh, di sini, hari ini.

Beliau berkata, mulai 1 Mac depan, pihak penguatkuasa akan melakukan pemantauan yang ketat bagi memastikan tiada lagi penggunaan beg plastik sekali guna di seluruh Perak yang sepatutnya dikuatuasakan mulai 1 Januari lalu.

Menurutnya, mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Perak pada 17 Disember lalu menangguhkan penguatkuasaan itu kepada 1 Mac bagi memberi masa yang mencukupi kepada rakyat untuk membuat persediaan.

“Dulu kita mula dengan (larangan) pada Sabtu saja, selepas 1 Mac ini, setiap hari tiada beg plastik diberi lagi,” ujarnya.

Kok Lim berkata, perluasan larangan kepada jenis beg plastik lain adalah tertakluk kepada kesesuaian dan tidak membebankan pengguna.

“Macam katakan kalau ada premis-premis, tempat-tempat makan nak ‘ban’ kan sudu plastik sekali guna, cawan plastik sekali guna, itu boleh tambahlah,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan larangan penggunaan plastik sekali guna dijadualkan dilaksanakan mulai 1 Januari tahun depan ditangguhkan ke 1 Mac 2026.

Kok Lim berkata larangan itu juga akan berkuat kuasa di kawasan Hutan Simpan Kekal, Taman Negeri Royal Belum dan Taman Negeri Pulau Sembilan, serta tarikan pelancongan Geopark di Lenggong dan Lembah Kinta, termasuk premis tetap seperti pasar raya, kedai serbaneka, restoran makanan segera dan farmasi.