Perak SADC Catat Pendapatan RM794.8 Juta Tahun 2023

Berita Perak

IPOH: Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) mencatatkan pendapatan sebanyak RM794.8 juta sepanjang tahun lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, daripada jumlah itu, Perak SADC mencatatkan keuntungan kasar sebelum audit RM43 juta.

Menurutnya, sebanyak RM55.33 juta telah disumbangkan kepada kerajaan negeri serta rakyat Perak sepanjang tahun lepas.

“Daripada keseluruhan sumbangan, jumlah terbesar disalurkan oleh Perak SADC adalah melalui Pulangan Tahunan Kepada Kerajaan Negeri sebanyak RM20 juta dalam membantu kerajaan negeri melaksanakan pelbagai program pembangunan yang memberi implikasi dan manfaat berterusan untuk kesejahteraan rakyat.

“Selain itu sebanyak RM18.8 juta lagi membabitkan agihan ladang rakyat dan ladang untuk rakyat yang telah memanfaatkan 7,123 orang penerima bertujuan membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat melalui bantuan kewangan secara tunai,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan daripada Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) dan Pelancaran Pra-Pesanan Juala Rahman Aidilfitri dan Karnival Agropelancongan Perak 2024 di Ipoh pada Selasa.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perak SADC, Datuk Yahanis Yahya.

Saarani berkata, Perak SADC juga memperuntukkan RM4.77 juta yang memberi manfaat kepada 1,129 usahawan, khusus dalam bidang pertanian meliputi pinjaman tanpa faedah, geran usahawan asnaf, Agrofest dan Program
Pembedayaan Usahawan Wanita.

Mengenai perancangan tahun ini, beliau berkata, Perak SADC mensasarkan untuk mencatatkan keuntungan RM70 juta.