Perak perlu RM640 juta untuk empat projek tebatan banjir

Berita Perak

IPOH: Perak memerlukan peruntukan sebanyak RM640 juta bagi melaksanakan empat projek tebatan banjir di negeri itu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, empat projek itu memerlukan perhatian kerajaan Persekutuan, kerana ia begitu mendesak untuk pelaksanaan segera.
  
Menurutnya, empat projek itu termasuklah bagi pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kinta Fasa Tiga yang memerlukan peruntukan mencecah RM300 juta; Rancangan Tebatan Banjir Sungai Sama Gagah di daerah Kerian (RM250 juta); serta dua di daerah Larut Matang dan Selama iaitu Rancangan Tebatan Banjir Pekan Kuala Sepetang (RM55 juta) dan Rancangan Tebatan Banjir Sungai Trong (RM35 juta).
 

“Untuk itu, saya dan rakan-rakan dalam pentadbiran Kerajaan Negeri sangat berterima kasih atas sikap keterbukaan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam mendukung usaha dan ikhtiar kita untuk memastikan segala perancangan yang telah kita susun dan atur demi kesejahteraan rakyat dapat sama-sama kita jayakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Madani Peringkat Negeri Perak di Kolej Poly-Tech MARA Meru, di sini, hari ini.

Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.

Terdahulu, pada sebelah petang, Perdana Menteri menghadiri pertemuan dengan kepimpinan kerajaan negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Saarani turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri kerana membantu pelaksanaan beberapa projek berimpak tinggi yang sedang giat dilaksanakan.

Katanya, antara projek itu ialah Kerian Integrated Green Industrial Park atau KIGIP di daerah Kerian, Automotive High Technology Valley (AHTV) di Tanjung Malim; Lumut Maritime Industrial City (LuMIC) di Manjung dan Silver Valley Technology Park (SVTP) di Kanthan.

“Kesemua projek berimpak tinggi itu adalah pelaburan yang sangat penting bagi Perak, bukan sahaja dalam tempoh yang kita tetapkan dalam pelan Perak Sejahtera 2030, tetapi ia adalah aspirasi kita semua untuk melihat Perak menjadi negeri yang makmur dan maju dalam dekad-dekad yang mendatang, sekaligus mencipta kecerahan masa hadapan untuk anak-anak muda kita,” ujarnya.