LENGGONG: Kerajaan Perak memberi jaminan bahawa perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) yang akan diproses di negeri ini tidak menjejaskan alam sekitar.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sebarang proses tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
Menurutnya, kaedah mengekstrak bahan mineral tersebut tidak akan mengulangi kesan seperti yang berlaku dalam perlombongan bijih timah sebelum ini.
“Jadi makna tidak timbul soalan kita bimbang berlaku lombong tinggal macam tu tak ada.
“Untuk kaedah baru, mengekstrak dalam hutan simpan pun masih kekal.. jadi tak akan usik pokok tak akan tebang pokok tidak menyebabkan berlaku tanah runtuh ldan sebagainya.
“Itu penting, jadi tak perlu bimbang tentang itu sebab teknologi baru sekarang memberi jaminan dan kita pun sangat tegas (dalam hal ini),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membentangkan Laporan Kemajuan Tahun Ketiga Perak Sejahtera 2030 di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KPTM) Lenggong, pada Isnin.
Saarani menegaskan bahawa kerajaan tidak akan membenarkan proses mengekstrak itu sekiranya ia merosakkan alam sekitar.
Menurutnya, oleh kerana kerajaan Persekutuan tidak membenarkan NR-REE dijual mentah, kerajaan Perak telah merangka pembangunan dari segi huluan, pertengahan dan juga hiliran.
“Kita akan mengorak langkah, kita pun dah ada makmal sendiri, untuk aktiviti pertengahan dan kita pun dah mula berkolaborasi dengan seorang ahli akademik yang ada kepakaran dalam bidang pengasingan.
“Jadi kalau kerajaan Persekutuan bersetuju dengan kita, bermakna kita akan ada lagi satu aktiviti pertengahan makmal untuk menentu sahkan NRE dan juga makmal untuk pengasingan,” ujarnya.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan mencari pelabur untuk menghasilkan produk-produk akhir daripada NR-NRE termasuk magnet dan bateri kenderaan elektrik.
Menurut Saarani, proses itu mengambil masa yang panjang, sekaligus menjadikan NR-REE sebagai sumber kekayaan baharu Perak, selepas bijih timah.



