IPOH: Kerajaan Perak berjaya menyelesaikan lebih 92 peratus daripada 19,000 aduan yang diterima melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) pada 2025, dalam tempoh yang ditetapkan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, jumlah itu menunjukkan bahawa sistem kerajaan negeri berfungsi di samping bekerja untuk menyelesaikan aduan yang diterima.
Menurutnya, penjawat awam perlu memiliki mentaliti yang jelas bahawa aduan rakyat bukan gangguan kepada pentadbiran, sebaliknya cerminan kepada keberkesanan pentadbiran.
“Di situlah rakyat menilai sama ada kerajaan ini benar-benar berfungsi untuk mereka, atau sebaliknya,” katanya ketika berucap pada Majlis Wacana Eksekutif dan Perutusan Tahun Baharu 2026 Bersama Penjawat Awam Negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru, di sini, hari ini.
Beliau berkata, aduan yang berulang menjadi isyarat jelas bahawa ia memerlukan penambahbaikkan supaya dapat dinokhtahkan.
“Kita ambil data aduan melibatkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebagai contoh. Isu yang paling kerap diterima dan bersifat berulang ialah pembersihan awam, haiwan dan serangga, jalan, pokok serta isu kejiranan.
“Apabila aduan yang sama muncul berulang kali, apatah lagi di tempat yang sama, maka itu isyarat jelas bahawa ada sesuatu yang perlu kita baiki.
“Saya bukan hanya bercakap mengenai sistem aduan di PBT semata-mata, tetapi di semua peringkat pentadbiran termasuklah Pegawai-pegawai Khas MB di semua daerah.
“Saya tekankan hal ini kerana pendekatan kita terhadap aduan rakyat mesti berubah daripada sekadar menerima dan memproses, kepada menyelesaikan berdasarkan data dan punca sebenar,” ujarnya.
Beliau mahu program turun padang dan mesyuarat pemantauan aduan mesti digunakan dalam menyelesaikan aduan berulang namun bukan hanya untuk melapor, sebaliknya menjadi ‘wake-up call’ untuk membetulkan sistem dan mengurangkan aduan rakyat yang berulang kali.





