TAMBUN: Ketika musim durian mencapai kemuncak di Perak, orang ramai dinasihatkan supaya menjadi pengguna bijak, walaupun harga yang ditawarkan murah.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, pembeli perlu bijak memilih di samping memastikan kesahihan alat timbangan yang digunakan.
Menurutnya, dalam operasi yang dilakukan di Kuala Kangsar baru-baru ini, seorang peniaga durian di dikenakan kompaun RM200 kerana menggunakan alat timbangan tidak ditentusahkan.
“Kena jadi pengguna yang bijak, tahu hak kita dan berani laporkan kalau kita rasa tak betul.
“Sekarang ni musim durian banyak, contohnya di Batu Kurau, melambak durian, tapi pembeli perlu bandingkan harga dan cuba tengok dia punya alat timbang tu, ada tak ditentusahkan.
“Kalau tak ada, maklum kepada KPDN, kejap lagi kita akan sampai kerana kita mahu didik oranr ramai supaya jadi pengguna yang bijak,” katanya kepada pemberita ketika
pemantauan dan advokasi Ops Kesan 4.0 di sebuah pasar raya di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Kamalludin berkata, berdasarkan statistik setakat 1 hingga 16 Julai, sebanyak 48 permis melibatkan 239 jenis barangan telah diperiksa oleh pihaknya bagi tujuan analisis dan pengumpulan data harga.
Menurutnya, setakat ini terdapat satu aduan yang direkodkan berkaitan Ops Kesan 4.0 dan peniaga itu diminta untuk memberi justifikasi serta maklumat terperinci berkenaan kenaikan harga makanan.
Di samping itu, kata beliau, pihaknya juga menghantar notis bertulis kepada tujuh premis mengenai kemungkinan kenaikan harga yang berlaku.
“Pemilik premis dikehendaki menjawab notis tersebut dalam tempuh enam hari berhubung justifikasi harga barangan yang dijual,” ujarnya.
Kamalludin berkata, KPDN Perak menggerakkan seramai 195 penguatkuasa dan 75 pegawai pemantau harga yang melaksanakan pemeriksaan serta pemantauan secara berterusan di seluruh negeri.





