Pemandu lori dikesan seleweng minyak diesel, jual kepada sindiket

Berita Perak

IPOH: Ada pemandu lori tidak amanah menjual minyak diesel kepada sindiket demi mengaut untung atas angin.

Kegiatan penyalahgunaan minyak diesel bersubsidi ini dapat dibanteras susulan serbuan di sebuah premis melombong pasir di Jalan Gopeng Batu 3, Batu Gajah.

Menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perak, Datuk Kamalludin Ismail, operasi itu hasil maklumat orang awam dan risikan KPDN Perak selama dua minggu.

“Mengikut maklumat disyaki pemandu-pemandu lori yang tidak amanah ini akan menjual minyak diesel lori syarikat tempat mereka berkerja pada harga RM2 kepada sindiket.

“Minyak diesel ini akan disedut dari tangki lori mereka mengunakan pam dan hos masuk ke dalam tangki lori sindiket.

“Pihak sindiket kemudiannya akan menjual kepada syarikat pelombong pasir dengan harga RM2.80 seliter untuk kegunaan jentera melombong pasir,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Katanya, ketika serbuan di tempat kejadian, pemandu lori sedang memindahkan minyak diesel mengunakan pam penyedut ke dalam beberapa bekas untuk kegunaan di tapak perlombongan pasir.

Selain itu, hasil pemeriksaan menemui 1,725 liter minyak diesel cecair dalam dua tangki fiber berkapasiti 1000 liter di dalam lori.

“Pemeriksaan juga mendapati pihak yang terlibat tidak mempunyai permit atau lesen barang kawalan.

“Cecair disyaki minyak diesel, lori bersama beberapa peralatan lain seperti mesin pam minyak, wayar hose dan lain-lain telah disita untuk tindakan lanjut.

“Dua lelaki tempatan disyaki sebagai pemandu lori dan pemilik premis masing-masing berumur 28 tahun dan 41 tahun telah ditahan untuk siasatan lanjut.

“Nilai sitaan adalah dianggarkan berjumlah RM58,577.75,” katanya.

Jelasnya, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan- Peraturan Kawalan Bekalan 1974.