Pelajar tahfiz UPSI jadi imam di University of Oxford sempena Ramadan

Berita Perak

IPOH: Nama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus terpahat di persada antarabangsa apabila lima wakil universiti itu terpilih untuk menjadi imam sempena Program Qari in Residence sepanjang bulan Ramadan tahun ini di United Kingdom, Australia dan Singapura.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, pemilihan mereka membuktikan keupayaan UPSI melahirkan graduan dan warga institusi yang diberi penghormatan dan pengiktirafan global terhadap kualiti pendidikan tahfiz universiti itu.

“Saya berasa terharu apabila pelajar Ijazah Sarjana Muda Tahfiz al-Quran dan Qiraat dengan Pendidikan dari Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Adib Farhan Baharudin terpilih menjadi imam di Oxford Centre for Islamic Studies (OXCIS), United Kingdom,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, ia satu penghormatan luar biasa untuk pelajar UPSI yang mendapat peluang memantapkan lagi keperibadiannya sebagai seorang pelajar tahfiz.

Program dari 16 Februari hingga 21 Mac itu, ujarnya, adalah satu pengiktirafan yang bukan sahaja membanggakan UPSI, malah memperlihatkan potensi besar institusi pendidikan tempatan dalam menyumbang kepada pembangunan ilmu al-Quran di peringkat global.

Menurut Md Amin, program itu menyaksikan empat pelajar dan seorang pegawai UPSI diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab sebagai imam serta menyumbang kepakaran dalam bidang al-Quran di beberapa institusi Islam.

Katanya, selain itu, Ahmad Al Mustafa Mohd Azmi yang berkhidmat sebagai imam di Malaysian Hall Perth, Australia, manakala Wan Muhammad Irsyad Wan Zulkifli serta Muhd Farhan Hakimi Khairul Aizam masing-masing berkhidmat di Singapura di Masjid al-Ghufran, Singapura.

“Guru Tahfiz, merangkap Penasihat Persatuan Tahfiz UPSI, Ah-Luqman Al-Hakim Che’ Zahari dari Institut Penyelidikan dan Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami FSK, turut diberi kepercayaan berkhidmat sebagai imam di Masjid Dar al-Iman dan Malaysian Hall Sydney, Australia,” tambahnya.

Beliau berkata, penglibatan pelajar dan pegawai UPSI di luar negara turut membuka peluang kepada mereka untuk memperkukuh kemahiran kepimpinan, komunikasi serta kefahaman budaya masyarakat Islam antarabangsa.

“Ia selari dengan aspirasi universiti untuk melahirkan modal insan holistik yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mampu menjadi duta ilmu, sahsiah dan nilai Islam,” ujar beliau.

Bagi merealisasikan aspirasi itu, katanya, UPSI dalam proses pembinaan Institut Pendidikan Tahfiz Dan Turath Islami (-Furqan) yang akan menjadi pusat kajian berkaitan isu melibatkan pendidikan tahfiz di negara ini.

“Institut yang sedang giat dibina di atas tapak seluas 18 ekar di Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City ini akan menggunakan kurikulum yang mengintegrasikan sistem “pondok” dan sistem pendidikan arus perdana,” katanya.

Sementara itu, Pengarah -Furqan, Prof Dr Abd Rahman Abd Ghani berkata Program Qari in Residence merupakan platform strategik dalam mengetengahkan bakat serta kepakaran pelajar tahfiz UPSI di pentas global.

Menurutnya, pemilihan wakil UPSI dibuat melalui proses saringan rapi yang menilai aspek hafazan, penguasaan qiraat, pencapaian akademik serta keperibadian calon.

“Program ini memberi ruang kepada peserta untuk mempraktikkan ilmu qiraat, tajwid dan pengurusan ibadah dalam konteks sebenar, di samping memperkukuh keyakinan diri serta profesionalisme sebagai imam dan pendidik al-Quran di luar negara.

“Kita berharap pengalaman ini akan memberi nilai tambah yang signifikan kepada pembangunan sahsiah dan kerjaya mereka pada masa hadapan,” katanya.