IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak berjaya mencatatkan 41 kes dan mengeluarkan kompaun berjumlah RM41,600 dalam Ops Pantau 2025 mulai 2 Mac lalu.
Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, sebanyak 15,547 premis telah diperiksa dengan nilai rampasan lebih RM300,000.
“Daripada 41 kes itu, 31 kes dikompaun iaitu 19 kes tiada tanda harga dan 12 kes tarikh tentusah alat timbang tamat tempoh.
“10 kes lagi masih dalam siasatan untuk didakwa di mahkamah iaitu dua kes berkaitan Akta Perihal Dagangan mengenai halal, tiga kes barangan tiruan, empat kes menyimpan barangan kawalan melebihi had dibenarkan dan satu kes alat timbang sukat yang tidak ditentusahkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena pantauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2025 di Pasaraya Mydin Meru di sini, hari ini
KPDN melaksanakan Ops Pantau 2025 mulai 2 Mac sehingga Hari Raya Aidilfitri bagi memastikan pematuhan peniaga berdasarkan undang-undang yang dikuatkuasakan.
Dalam pada itu, Kamalludin memberi jaminan bekalan santan di Perak menjelang sambutan Aidilfitri, minggu depan adalah mencukupi.
Menurutnya, dengan status sebagai negeri pengeluar utama kelapa, khususnya di Bagan Datuk, Perak juga tidak menghadapi masalah bekalan kelapa.
Tambahan pula, katanya, kelapa, kelapa parut dan santan termasuk dalam senarai Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2025 yang berkuat kuasa dari 24 Mac hingga 07 April.
Menurutnya, seramai 195 penguat kuasa dan 75 Pegawai Pemantau Harga (PPH) akan melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan di lokasi-lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan.




