Nahas Jerantut: Jenazah lima sekeluarga dikebumi dalam satu liang

Berita Perak

PARIT: Jenazah lima sekeluarga yang maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di KM 7 Jalan Jerantut-Maran, selamat dikebumikan dalam satu liang lahat di Tanah Perkuburan Islam Kampung Selat, Bota Kanan, Parit, pada awal pagi Ahad.

Jenazah Mohamad Ikmal Ishak, 26, isterinya Nur Arfiqah Aziz Jaafar, 23 dan tiga adik iparnya, Mohammad Zulkifli, 21, Mohamad Azizul Hakimi, 19, dan Nurul Hazwani, 17, selamat dikebumikan kira-kira jam 1.45 pagi.

Terdahulu lima buah van yang membawa jenazah mangsa tiba di Masjid Jamek Bota Kanan jam 12.30 tengah malam, sambil diiringi kenderaan polis, untuk disembahyangkan.

Lebih 500 anggota keluarga serta sahabat handai menunggu di masjid sejak jam 11 malam untuk memberi penghormatan terakhir.

Turut hadir Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.40 pagi Sabtu, kereta Perodua Bezza yang dinaiki lima sekeluarga itu terlibat nahas dengan sebuah Toyota Alphard yang dinaiki tiga individu.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Zukri Muhammad, berkata kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Bezza yang dalam perjalanan dari Jerantut menghala ke Maran, dikatakan membuat pusingan U secara mengejut di persimpangan lalu berlanggar dengan Toyota Alphard dari arah bertentangan.