IPOH: Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) mencadangkan agar kerajaan melalui Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyemak persempadanan semula kawasan Parlimen di seluruh negara.
Presidennya, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, ketika ini terdapat jurang ketara antara jumlah pengundi di beberapa negeri di semenanjung berbanding Sabah dan Sarawak yang turut memberi kesan terhadap keupayaan kawasan luar bandar mendapatkan pembelaan sewajarnya.
Menurutnya, beberapa kawasan Parlimen di negeri seperti Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang mencecah sehingga 100,000 pengundi, manakala di Sabah dan Sarawak purata hanya sekitar 63,000 orang.
“Kawasan-kawasan Parlimen luar bandar patut diberi weightage kerana keluasan dan akses mereka berbeza.
“Negara lain seperti Australia sudah lama memberikan kelebihan ini, kawasan yang kurang populasi tetapi luas, diberikan juga Parlimen.
“Jadi kita juga patut kembali menilai perkara ini, (malah) garis panduan SPR sendiri menunjukkan kawasan luar bandar sepatutnya berada pada nisbah 60,000 hingga 70,000 pengundi bagi satu kerusi Parlimen,” katanya kepada pemberita dalam Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Mubarak ke-22 dan Pelancaran Buku Tokoh Mubarak di sini, malam tadi yang disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Abdul Aziz berkata, usul yang dibentangkan dalam perhimpunan agung MUBARAK itu akan dibawa kepada Majlis Perundingan Melayu (MPM) untuk dibahaskan pada kongres 13 Disember ini.
“Ada yang berfikiran jika banyak sangat Parlimen, negeri-negeri yang ramai orang Melayu akan dikawal oleh Pas.
“Tidak boleh berfikiran begitu kerana kenyataan hakikinya kawasan itu boleh diwakili dan terpulanglah kepada pengundi untuk menentukan wakil mereka,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, MUBARAK sedang menyiapkan bangunan enam tingkat di Sentul melalui Yayasan MUBARAK yang dijangka menjana pendapatan sewaan kira-kira RM50,000 sebulan untuk membantu ahli-ahlinya tanpa terlalu bergantung kepada kerajaan.
Menurutnya, terdapat tanggapan salah bahawa kesemua bekas wakil rakyat hidup selesa sedangkan terdapat bekas ADUN dan Ahli Parlimen yang kini bekerja sebagai pemandu teksi dan peniaga kecil demi kelangsungan hidup.
“Kita bukan pegawai kerajaan yang ada skim pencen 20 tahun. Ada ahli MUBARAK yang masuk politik ketika muda, tak sempat dapat pencen guru, tentera atau perkhidmatan awam.
“Jadi kita kena ambil alih peranan membantu membaiki kedudukan mereka terutama dari segi kewangan,” ujarnya.





