IPOH: Pelantikan Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari sebagai Menteri Belia dan Sukan yang baharu disifatkan sebagai satu langkah tepat serta selari dengan keperluan semasa golongan belia.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak, Ashraf Kahasani berkata, pelantikan itu juga mampu memberi nafas baharu serta memahami keperluan anak muda khususnya dalam aspek pembangunan belia dan sukan.
“Keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melaksanakan rombakan kabinet turut memberi ruang lebih luas kepada golongan muda untuk terlibat secara langsung dalam pentadbiran negara.
“Kita menyambut baik rombakan tersebut kerana ia bukan sekadar pertukaran jawatan, tetapi satu strategi baharu untuk memberi yang terbaik kepada negara dan rakyat.
“Paling kita berpuas hati apabila dua pemimpin muda daripada AMK diberi kepercayaan menganggotai kabinet, iaitu Taufiq Johari sebagai Menteri Belia dan Sukan serta Chiew Choon Man sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Back To School AMK Perak di Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Ipoh Barat di sini baru-baru ini.
Tambahnya, lantikan tersebut membuktikan AMK bersedia memperkasa peranan belia di peringkat nasional di bawah kepimpinan Ketua AMK Malaysia, Muhammad Kamil Abdul Munim.
“Ini adalah langkah terbaik apabila orang muda diberi peluang memimpin. Ia bukan sahaja membuka ruang khidmat yang lebih luas kepada belia, malah selaras dengan komitmen Kerajaan Madani untuk memperkasa peranan golongan muda.

“Kita melihat beberapa rombakan Kabinet ini bukan bertujuan lain, ia adalah untuk memberikan yang terbaik kepada negara dan juga masyarakat,” katanya.
Ashraf turut berharap isu-isu berkaitan pembangunan infrastruktur sukan, penyelenggaraan gelanggang rakyat serta kesinambungan program pembangunan atlet dapat diberi perhatian serius.
Dalam program tersebut, Ashraf berkata Program Back To School AMK Perak berjaya mengagihkan 300 baucar bantuan persekolahan kepada keluarga yang memerlukan di Perak.
Katanya, inisiatif itu bertujuan meringankan beban ibu bapa dan penjaga menjelang pembukaan sesi persekolahan baharu, selain mencerminkan komitmen AMK untuk terus menyantuni semua lapisan masyarakat.







